SEJARAH SEKOLAH


Sekolah ini pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Perempuan kerana pelajar-pelajarnya terdiri daripada perempuan sahaja, manakala lelaki bersekolah di Paloh. Tetapi pada tahun 1968 pelajar-pelajar sekolah ini telah dicampur sebagaimana yang wujud sekarang. SK Pulau Rusa pada awalnya telah diasaskan Ustaz yang berbangsa Yaman iaitu Sheikh Ali pada tahun 1941. Beliau adalah seorang guru agama dan bertepatanlah dengan isi pengajarannya hanya melibatkan perbincangan aqidah, syariah, akhlak, sirah Nabawiyah, Ulum Al-Quran dan hadis. Beliau menyampaikan pengajarannya di sebuah pondok. Seterusnya tugas tersebut telah disambung oleh Ustaz Ngah pada tahun 1944- 1948. Beliau juga mengajar ilmu-ilmu keagamaan sahaja yang berpandukan kepada kitab lama (tradisional) melalui proses pendidikan tidak formal. 
Pada tahun 1948-1950, Cikgu Yong  Muhammad telah dilantik sebagai guru besar yang pertama. Pada masa ini proses pembelajaran dan pengajaran adalah bercorak formal dan mula dikenali sebagai sekolah umum. Matapelajaran yang diajar ialah Bahasa Melayu, Jawi, Ilmu Kira-kira (Matematik) dan ilmu Kejadian (Sains), Namun begitu penekanan adalah dari segi membaca, menulis dan mengira. Tulisan jawi adalah amat penting pada masa tersebut dan menjadi kewajipan kepada pelajar-pelajar mempelajari dan mempraktikkan dengan cara yang betul. Tambahan pula buku-buku teks ditulis dengan tulisan jawi. Pada masa ini bangunan sekolah yang pertama telah didirikan bagi menampung pelajar-pelajar yang berjumlah kira-kira empat puluh (40) orang bagi tahun 1-3 sahaja.
Sekolah ini telah ditadbir oleh enam orang Guru Besar perempuan sejak tahun 1950-1979.  Ini tidak menjejaskan usaha untuk terus membangunkan sekolah ini. Seterusnya pada tahun 1950-1953,  Puan Rafeah Ali telah menyandang jawatan Guru Besar dan diikuti oleh Puan Khatijah Abdullah (1954) dan Puan Hawa (1955 – 1961). Pada tahun 1961-1968 Puan Rafeah sekali lagi telah dilantik sebagai Guru Besar. Perubahan dan perkembangan pendidikan Negara turut membawa perubahan kepada sekolah ini. Pada tahun 1968, pelajar-pelajar sekolah ini telah dicampur dan proses pendidikan mengikut system kurikulum biasa dan berbentuk formal. Sekolah ini juga telah dikenali dengan Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa.
Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa mendapat tambahan bangunan pada tahun 1992, apabila siapnya bangunan tiga tingkat. Kemudahan yang disediakan seperti pejabat, bilik guru, pusat sumber, koperasi dan bilik-bilik darjah. Dua buah bangunan lama telah dirobohkan dan diganti tempat letak basikal murid serta padang bola jaring. Pada tahun 2008, dengan sokongan kuat dari PIBG, sebuah dewan sekolah telah dibina bagi kemudahan aktiviti sekolah. Bilik Sains, surau sekolah telah di naik taraf disamping pendidikan Pra Sekolah telah dimulakan pada tahun 2005. Walau bagaimana pun, sekolah masih lagi berkongsi padang dengan Persatuan Belia Kg Pulau Rusa untuk aktiviti sukan dan Pendidikan jasmani.
Kebanyakan pelajar-pelajar SK Pulau Rusa terdiri daripada pelbagai lapisan sosio-ekonomi. Ini tidak menghalang kemajuan sekolah dalam lapangan akademik dan ko-kurikulum terutamanya kejayaan dalam peperikasaan UPSR 1993, 2004 dan 2007.Ini adalah hasil usaha guru yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab mereka serta perhatian dan kerjasama daripada pelajar-pelajar sendiri serta sokongan moral daripada PIBG.
Segala kemajuan dan kejayaan yang dicapai pada masakini adalah bermula daripada zaman pengasasnya dan telah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman pahit dan manis. Segalanya dihadapi dengan tabah demi untuk kemajuan dan kesenangan generasi kemudian yang akan mewarisi perjuangan ini.
         Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan Kelantan, Kg Pulau Rusa, 20500 Kuala Terengganu, Terengganu  Darul Iman, Malaysia. Pada 2018, Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa mempunyai seramai 131 orang pelajar lelaki dan 132 orang pelajar perempuan, menjadikan keseluruhan pelajar seramai 263 orang termasuk pelajar Prasekolah. SK Pulau Rusa sekarang mempunyai 27 orang guru dan 5 orang kakitangan termasuk 8 pekerja swasta.









1 comment: